Akses Kendiri 3

Baca petikan berita di bawah




Siap sedia hadapi banjir

Oleh ZAMZURINA AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my

KUANTAN 14 Nov. - Jabatan Meteorologi Pahang menasihatkan penduduk di beberapa daerah negeri ini supaya bersiap sedia dan berjaga-jaga berikutan hujan lebat diramalkan bermula esok hingga Khamis ini.
Pengarahnya, Md. Kamsan Hamdan berkata, pada Khamis lepas, pihaknya telah mengeluarkan amaran kuning iaitu nasihat berikutan hujan sederhana dan kadangkala lebat yang boleh menyebabkan banjir.
Beliau berkata, antara daerah yang dikenal pasti akan berlakunya banjir ialah Kuantan, Maran, Rompin, Temerloh, Rompin dan kawasan rendah yang sering berlaku banjir.
''Bagaimanapun, kita akan sentiasa berjaga-jaga dan mempertingkatkan arahan kepada amaran jingga dan merah jika hujan masih berlarutan," katanya kepada pemberita sempena Kempen Kesedaran Awam- Mengenai Cuaca Ekstrem, Gempa Bumi dan Tsunami di sini hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran kemungkinan banjir di kawasan rendah di Pahang dan Johor berikutan hujan lebat dijangka berterusan sehingga pagi ini.
Menurut Md. Kamsan, amaran awal yang dikeluarkan tidak akan berkesan sepenuhnya tanpa adanya kesedaran awam terhadap bahaya bencana cuaca ekstrem seperti banjir, gempa bumi dan tsunami.
''Oleh itu kami mengharapkan kesedaran dan kerjasama daripada masyarakat agar dapat mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan kemusnahan harta-benda," jelasnya.
Dalam pada itu, pihaknya telah meletakkan alat pengesan tsunami di pantai Teluk Chempedak di sini bagi membolehkan orang ramai membuat persediaan menghadapi bencana alam itu.
''Sekiranya berlaku gempa bumi di laut dan menunjukkan tanda-tanda tsunami maka siren yang dipasang akan berbunyi dan terus dikesan ke ibu pejabat.
''Dalam tempoh 15 minit, maklumat tersebut akan dihebahkan kepada orang ramai supaya bersiap sedia menghadapinya dan bantuan akan segera disalurkan," jelasnya.


Soalan 

Bina ayat yang lengkap menggunakan perkataan-perkataan yang berwarna merah di atas.
Hantar jawapan anda melalui ruangan komen.










Video Chart